Wednesday 9 May 2012

Tips Temuduga

Objektif Penemuduga

Anda pasti mempunyai objektif anda yang tersendiri apabila memohon sesuatu pekerjaan, dan apabila anda dipanggil untuk ditemuduga, anda juga mungkin mempunyai matlamat yang anda ingin capai sekiranya berjaya melepasi temuduga tersebut. Ya anda sudah tentunya tahu akan objektif anda sendiri.

Tapi tahukah anda akan objektif penemuduga anda? Untuk berjaya dalam temuduga, anda perlulah mengetahui objektif penemuduga anda.

Berikut adalah diantara objektif-objektif penemuduga


Lazimnya, penemuduga akan mencari calon dengan ciri-ciri berikut :

  1. Kebolehan berkomunikasi yang baik
  2. Mempunyai kelayakan yang relevan
  3. Bersemangat
  4. Berinisiatif
  5. Mempunyai rekod pekerjaan/pelajaran yang baik
  6. Berwatakan Menarik

Nilaikan diri anda
Sebelum anda menghadiri temuduga, anda seharusnya sudah dapat menilai diri anda sendiri sebelum dinilaikan oleh penemuduga.

Anda perlu melihat diri anda dari segi
  1. Kelebihan diri sendiri
  2. Personaliti
  3. Pencapaian Akademik dan Pekerjaan
  4. Kekuatan dan kelemahan
  5. Persepsi
  6. Pengetahuan Am
  7. Pengalaman Kerja

Kebanyakkan soalan penemuduga berkisar kepada aspek-aspek diatas. Cuba selami diri anda, dan senaraikan butir-butir tersebut, kenalpasti kelemahan anda dan cuba perbaikinya sebelum menghadiri temuduga.

Ini dapat memastikan anda dapat menjawab soalan penemuduga dengan lebih yakin dan positif.

Tingkahlaku dan Adab Semasa Temuduga 

  1. Jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata yang tidak benar semasa dalam temuduga.
  2. Jika anda tidak tahu jawapan yang disoal itu, janganlah cuba hendak berbohong ataupun mendiamkan diri sahaja, kerana ini akan melemahkan peluang anda. Eloklah anda bercakap terus terang yang anda tidak tahu jawapannya.
  3. Bersedia memberitahu penemuduga tentang keluarga anda, persekolahan, kegemaran dan aktiviti anda. Jangan bercakap melebihi dan yang tidak sepatutnya.
  4. Jangan berbincang apa-apa masalah peribadi anda semasa temuduga.
  5. Jika anda pernah bekerja dahulu, berilah keterangan dengan ringkas dan tepat berkenaan dengan pekerjaan itu.
  6. Jangan sekali-kali anda cuba hendak mencela bekas majikan anda.
  7. Nyatakan kelayakan dan kelulusan anda yang benar, tetapi janganlah membesar-besarkan perkara itu.
  8. Anda hendaklah mengetahui serba sedikit akan tugas-tugas yang bersabit dengan pekerjaan itu, masa yang dijangka kena bekerja dan gajinya yang akan dibayar pada permulaannya.
  9. Bersedialah untuk memberitahu kadar gaji yang anda ingin. Walau bagaimanapun biarlah penemuduga itu mengemukakan perkara itu terlebih dahulu.
  10. Jika penemuduga tidak menyatakan tarikh yang sepatutnya anda mengetahui keputusan temuduga itu, eloklah anda bertanya supaya anda boleh datang lagi ke pejabatnya untuk mengetahui keputusan itu. Jika ia bersetuju tanyakan tarikh dan masa yang sesuai baginya.
  11. Biarkan penemuduga itu menamatkan temuduga.
  12. Ucapkan terima kasih kepada penemuduga kerana memberi peluang kepada anda menyertai temuduga itu.

Kawal emosi semasa temuduga

Semasa berada di bilik temuduga, kerapkalinya anda akan ditanyakan soalan-soalan yang anda kurang bersedia. Soalan-soalan ini kebanyakkannya seolah-olah "mencabar" kewibawaan anda.

Apa yang perlu anda lakukan adalah :

  1. Ingatkan diri anda bahawa penemuduga sedang menguji anda
  2. Jawab dengan jelas dan lantang
  3. Kikiskan sifat ego anda
  4. Tenangkan diri anda sebelum menjawab soalan, selalunya penemuduga akan cuba menggunakan jawapan anda untuk membidas
  5. Banyakkan senyuman
  6. Berikan penekanan dalam jawapan anda yang menyokong butiran-butiran yang tertulis dalam CV/Resume anda. Berikan penekanan kepada pencapaian anda yang tidak boleh dicapai orang lain
  7. Jangan sesekali menunjukkan anda hilang minat terhadap pekerjaan ditawarkan


Selain itu, anda dinasihatkan supaya jangan tergopoh gapah menjawab soalan-soalan sebegini dari temuduga, ambil masa untuk berfikir sejenak,dan jawablah dengan fikiran yang tenang.

Perkara yang menjelikkan penemuduga

Berikut adalah perkara-perkara yang sepatutnya anda elakkan ketika berada dalam bilik temuduga untuk mengelakkan penemuduga berasa bosan dan jelik kepada anda :

  1. Bercakap perkara-perkara yang tidak berkaitan secara keterlaluan
  2. Tidak memberikan tumpuan kepada penemuduga tertentu apabila ditemuduga lebih dari seorang penemuduga
  3. Mengelak dari menjawab soalan penemuduga
  4. Memandang rendah akan pengetahuan penemuduga, ini dapat dilihat dengan jawapan anda
  5. Mencabar penemuduga dengan bertanyakan soalan yang rumit dan terlalu teknikal
  6. Menggunakan nama-nama orang berpangkat atau terkenal dalam perbualan anda dengan temuduga dengan harapan penemuduga tersebut kagum dengan anda


Perkara-perkara ini bukan sahaja membosankan penemuduga, malah akan membuatkan penemuduga merasa jelik dengan anda dan seterusnya mengambil keputusan untuk mengenepikan permohonan anda untuk mendapat jawatan tersebut.

Soalan Trik: Ceritakan berkenaan diri anda (Tell me about yourself)






Awas! 3 perkara yang anda perlu tahu berkenaan soalan sebegini 

Soalan berkenaan "Ceritakan berkenaan diri anda" ataupun dengan bahasa Inggerisnya "Tell me about yourself" kerapkali ditanya semasa diawal temuduga.

Terdapat 3 tujuan utama untuk soalan ini:

  • Sebagai sesi 'ice-breaking'
  • Untuk menguji kelancaran anda dan kematangan anda ketika berbicara
  • Untuk mengetahui tahap minat anda terhadap kerjaya yang dipohon

PERTAMA: "Ice-breaking"
Pertama sekali penemuduga berkemungkinan telah membaca resume ataupun kelayakan anda secara sepintas lalu dan sesi ini adalah untuk mengenali anda secara bersemuka (in-person).

Jadi soalan ini dijadikan sebagai titik permulaan perbualan anda dan para penemuduga, dan untuk mengelakkan rasa janggal dan kekok

Maka dengan sebab itu, kebanyakan temuduga akan dimulakan dengan soalan begini.


KEDUA: Menguji Kelancaran Anda dan Kematangan Anda Ketika Berbicara
Majoriti penemuduga telahpun tahu dan arif berkenaan suasana bilik temuduga boleh menyebabkan anda 'cemas' dan 'panik', akan tetapi ia juga boleh menjadi medan untuk menguji kemahiran anda berkomunikasi sekiranya anda berhadapan dengan situasi 'tegang' sebegini.


Soalan 'ice-breaking' seperti "Tell me about yourself" sememangnya boleh dijadikan kayu ukur untuk melihat kemahiran komunikasi anda untuk menceritakan sesuatu yang mudah kepada penemuduga. Faktor-faktor lain seperti kelancaran dan kematangan juga diambil kira ketika anda sedang menceritakan perihal diri anda. 

Apa yang perlu diberikan perhatian, adalah:

  • Kelancaran (kalau tak lancar, anda tidak yakin, berkemungkinan juga ketidaklancaran tesebut memberikan isyarat yang mungkin anda sedang memikirkan cara untuk 'meng-kelentong' penemuduga)
  • Emosi - Perasaan takut dan gementar adalah biasa, tapi sekiranya ia keterlaluan, ia menunjukkan anda tidak matang dan kurang berkeyakinan)
  • Eye Contact - First impression is everything, memandangkan ini merupakan soalan pertama yang ditanya, penemuduga akan membuat penilaian pertama terhadap perilaku anda tatkala peringkat ini. Kegagalan anda membuat eye-contact sewajarnya menunjukkan anda kurang 'soft-skill', kurang berkeyakinan, ataupun tidak berminat dengan temuduga tesebut dan ini memberi kesan terhadap soalan -soalan berkaitrapat dengan pekerjaaan yang seterusnya. (Nota:  terdapat juga calon yang terus ditamatkan temuduga tanpa ditanya soalan teknikal berkaitan kerja, hanya kerana kurang membuat eye-contact sahaja

AWAS: anda tidak digalakkan mengunakan humor ataupun berloyar buruk di peringkat ini, sekiranya penemuduga berlawak, anda dinasihatkan supaya hanya menyambutut dengan senyuman dan cukup sekadar meng-iyakan ataupun 'acknowledge' lawak penemuduga terbabit. 


KETIGA: Mengetahui Tahap Minat Anda Terhadap Jawatan yang Dipohon


Ini adalah point terpenting!

Sekiranya penemuduga menyuruh anda menceritakan perihal diri : Jangan sesekali anda menceritakan tentang hal-hal peribadi anda kepada penemuduga seperti dimana anda bersekolah, bilangan adik-beradik, suami, isteri, hobi, aktiviti dimasa lapang dan sebagainya, kecuali sekiranya penemuduga meminta anda menceritakan perkara tersebut. Tapi, sekirapun ya, hadkan penerangan anda, kerana penemuduga sebenarnya tidak berminat untuk mengetahui secara mendalam sejarah hidup anda.

Apa yang dikehendaki penemuduga adalah anda sepatutnya memperkenalkan diri anda secara ringkas, dan menyatakan status perkahwinan anda, dan mungkin tempat tinggal dan kelulusan tertinggi anda (SPM, diploma, degree) dan kaitkan ia dengan jawatan yang dipohon.

Ceritakan sedikit berkenaan pengalaman kerja anda yang boleh dikaitkan dengan jawatan yang hendak dipohon. Walaupun anda memohon jawatan pegawai, dan anda hanya ada pengalaman berkerja di fast-food restaurant sahaja seperti KFC!



Kunci terpenting yang dicari oleh penemuduga adalah kebijaksanaan anda mengaitkan pengalaman anda bekerja di KFC tersebut dengan jawatan anda pohon pada masa kini. Seperti anda dapat mengaitkan nilai-nilai murni seperti semangat bekerjasama, memahami etika berkerja, mendapat pengalaman menguruskan masa dan karenah orang ramai, memperoleh kemahiran menguruskan pelanggan yang hilang sabar dan kaedah menanganinya sekiranya anda dilantik untuk menguruskan sesebuah unit ataupun jabatan.

Dan sekiranya anda menyertai aktiviti luaran ataupun ko-kurikulum, anda seharusnya mengkaitkan aktiviti tersebut dengan nilai-nilai murni yang dapat diterapkan dengan menyertai aktiviti ko-kurikulum tersebut.

Cuba sedaya upaya untuk mengaitkan pengalaman hidup anda dengan objektif dan juga kehendak skop tugas jawatan yang anda sedang pohon sekarang. Gunakan peluang ini untuk tarik perhatian penemuduga terhadap  kemahiran dan kebolehpasaran anda.

Kesimpulan secara ringkas:

Soalan "Ceritakan perihal diri anda" perlu dijawab secara berstruktur mengikut tip ini:


  • PEMBUKAAN: Mulakan dengan pengenalan pendek: Nama, asal, status perkahwinan, kelayakan akademik tertinggi, minat (kaitkan dengan jawatan dipohon
  • Ringkasan pengalaman kerja anda: Kaitkan pengalaman kerja anda yang lepas dengan jawatan yang anda sedang pohon sekarang walaupun hanya kerja sementara ataupun kerja rencam.
  • Beri jawapan yang ringkas, padat dan bermakna : Maksudnya, jangan bercerita  'kosong' dengan penemuduga. Setiap jawapan dan penerangan anda berkenaan soalan tersebut haruslah mempunyai 'makna'. Iaitu, setiap penerangan jawapan anda haruslah menyokong peluang anda untuk merebut jawatan yang sedang dipohon.


Interview Questions: Tell me about yourself -- The Good and Bad Example

Berikut adalah kesinambungan daripada post bertajuk  , disini terdapat dua video yang menunjukkan cara menjawab soalan "Ceritakan perihal diri anda" dan "Tell me about yourself"

Bad Example


Good example



3 Tips Elakkan Perasaan Gemuruh Semasa Temuduga

Perasaan gemuruh adalah sesuatu perkara  lumrah ketika menghadiri temuduga. Berikut adalah 4 tips untuk mengelakkan perasaan gemuruh ketika menunggu giliran dan berhadapan dengan penemuduga:



Tips 1: Ketika menunggu giliran, jangan terlalu mengandaikan soalan penemuduga.
Calon temuduga mudah menjadi gemuruh sekiranya terlalu memikirkan berkenaan soalan yang akan ditanyakan  penemuduga. Oleh itu, jangan fikirkannya! Tenangkan fikiran dan elakkan diri dari mengandaikan perkara yang negatif.

Tips 2:  Anggap Temuduga Sebagai Sebuah Proses Perbualan
Calon yang dipanggil temuduga biasanya telah mencapai kelayakan yang dikehendaki oleh organisasi, dan temuduga digunakan sebagai medium untuk organisasi mengenalpasti calon dengan lebih dekat selain dari maklumat yang diperoleh dari dokumen permohonan kerja sahaja. Jadi anggaplah temuduga sebagai sebuah proses perbualan yang memerlukan jawapan ringkas dan padat. Penemuduga juga merupakan manusia biasa yang mahukan perbualan yang segar dan semulajadi, jadi anda hanya perlu buat bersahaja dan tidak perlu terlalu gemuruh!

Tips 3:  Berfikiran optimistik
Befikiran optimistik boleh mengurangkan rasa gemuruh. Tanya pada diri anda sendiri, adakah anda pernah melalui situasi yang lebih sukar dari sekarang? sudah tentunya ya, bukan? Jadi cuba jadi lebih optimistik, dan berlatihlah untuk jadi lebih bersahaja..


Demikian sahaja tips temuduga pada hari ini untuk mengelakkan perasaan gemuruh semasa temuduga.

Elak dari bercakap terlalu banyak semasa sesi soal-jawab

Salam Sejahtera,

Kadangkala semasa sesi temuduga, calon-calon akan lebih mudah teruja dengan soalan-soalan yang diajukan oleh penemuduga kepada calon. Ini boleh dilihat dari kecenderungan calon-calon untuk lebih vokal, dan bercakap tanpa henti.



Perkara ini harus dielakkan oleh calon temuduga kerana :

  • Walaupun ia dapat mengurangkan rasa gemuruh, tetapi ia menunjukkan bahawa calon kurang matang
  • Boleh menyebabkan penemuduga mudah berasa bosan
  • Terdapat kebarangkalian calon mungkin tersalah tafsir soalan penemuduga dan sekiranya calon meneruskan percakapan tanpa henti, ia mungkin menyebabkan penemuduga bertanggapan negatif kepada calon.
  • Ia memberikan imej gopoh kepada calon
  • Jawapan yang diberikan mudah tersasar dari kehendak penemuduga
Perlu diberi perhatian bahawa penemuduga lebih senang dengan calon yang memberikan jawapan yang ringkas dan padat kerana kebanyakkan penemuduga mengejar masa untuk menemuduga calon seterusnya. 

Sekiranya ingin memberikan impresi yang baik, maka bercakaplah dengan nada yang tegas dan bersemangat. Elakkan bercakap ataupun membebel terlalu banyak kerana ini adalah salah satu perkara yang menjelikkan penemuduga




No comments:

Post a Comment